Terdapat pelbagai versi cerita mengenai Telaga Tujuh ini, ada yang mengatakan cerita ini sama seperti cerita lagenda tujuh puteri di Langkawi. Mengikut cerita dari mulut ke mulut, telaga tersebut digunakan sebagai tempat mandi tujuh puteri kayangan, telaga ini telah digali oleh seorang Bota (raksasa) atas arahan Maharaja Awan Gemawan. Bota tersebut dikhabarkan menpunyai ketinggian setinggi Gunung Kinabalu, Bota akan kembali semula ke kayangan selepas membina tujuh buah perigi di permukaan batu pejal Sungai Permanis Dara dengan menaiki burung Jentayu yang sayapnya merentasi tiga benua.
Setiap kali bulan purnama penuh, ketujuh- tujuh puteri akan turun bermandi-manda di Sungai Permanis Dara (Sungai Atas) untuk mengekalkan kejelitaan mereka. Ketujuh puteri jelita tersebut adalah puteri kesayangan Maharaja Awan Gemawan yang memerintah cakerawala. Pada suatu malam bulan purnama penuh, ketujuh-tujuh puteri telah turun untuk mandi-manda, tanpa mereka sedari di sebalik kegeringan mereka manda-manda terdapat sepasang mata pemuda yang sedang mengintai mereka.
Pemuda tersebut dengan perlahan-lahan cuba mengambil pakaian ketujuh-tujuh puteri tersebut agar ketujuh puteri tidak dapat pulang ke kayangan dengan harapan pemuda tersebut dapat mengawini ketujuh puteri. Namun tanpa pemuda itu sedari tindakannya mengundang musibah apabila dia memegang pakaian ketujuh puteri, tiba-tiba pakaian tersebut terbakar dan pemuda tersebut turut terkorban kerana meletup dengan sendiri. Ketujuh-tujuh puteri yang menyedari kejadian itu, merasa takut kerana tanpa pakaian khas tersebut mereka tidak dapat kembali ke keyangan ketujuh.
Maharaja Awan Gemawan yang terkejut dengan bunyi letupan itu memerintahkan Bota kepercayaannya untuk melihat keadaan puteri-puterinya. Setelah sampai ke bumi Bota mendapati ketujuh-tujuh puteri tidak berpakaian, Bota meninggalkan selubung Bayu Samudera menjadikan ketujuh puteri sebagai halimunan sebelum Bota kembali ke kayangan untuk memberitahu Maharaja Awan Gemawan. Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan menjangkau tahun. Tahun berganti dekad. Maharaja Awan Gemawan dan Permaisuri Kirana Tantamala telah mangkat. Ketujuh-tujuh puteri semakin jelita, namun terpaksa tinggal di dunia dengan ditemani Buragas.
Mengikut cerita lisan orang tua-tua, kononnya beberapa orang tertentu yang bernasib baik akan dapat melihat ketujuh puteri kayangan itu bermandi-manda di dalam kolam tanpa dibaluti walau oleh seurat benang. Tetapi bagi lelaki bertuah yang dapat melihat ketujuh puteri tersebut tidak boleh menceritakan kepada orang lain. Diceritakan beberapa insiden tragis berlaku apabila lelaki yang melihat ketujuh puteri sedang bermandi manda didapati terbakar tubuh badannya seperti terkena api apabila dia menceritakan kisah tersebut kepada adik lelakinya.
Menurut penduduk, telaga ini telah wujud sejak sekian lama, namun begitu dari cerita penduduk awal telaga ini milik hantu pari yang turun dari bukit berdekatan,. Dikatakan telaga ini tidak pernah kering dan penduduk tidak berani untuk mengambil airnya kerana dibimbangi akan berlaku sesuatu. Dikatakan juga bahawa air dari telaga ini memiliki tujuh warna yang akan muncul pada waktu tertentu.
Bagaimanapun, keunikan telaga ini ialah ia mempunyai tujuh telaga kecil di tepi telaga itu dan kedalamannya tidak siapa yang mengetahuinya. Telaga besar masih menyimpan misteri yang belum terungkap. Ada orang tua-tua yang beranggapan bahawa telaga paling dalam dan besar tersebut mempunyai gua di bawah air yang tidak pernah kering dan merupakan tempat persembunyian ketujuh puteri dan mungkin bersama enam pemuda yang yang dikatakan hilang ketika bermalam di sana.
No comments:
Post a Comment