Sharif Osman atau nama sebenarnya ialah Sharif Osman Bin Sharif Mohammad Rum merupakan antara tokoh terawal yang berjuang menentang penjajahan barat. Beliau merupakan seorang Ketua Wilayah atau raja yang memerintah Kota Marudu pada tahun 1830 hingga 1845. Beliau juga merupakan wakil kepada Kesultanan Sulu yang mentadbir wilayah Marudu. Sharif Osman berketurunan Bajau/Suluk, bapanya sorang berketurunan Sharif atau Syed dan merupakan alah seorang pembesar iatana Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei.
Sharif Osman telah diamanahkan untuk mentadbir wilayah Marudu, apabila Kesultanan Sulu mengambil alih beberapa kawasan di Borneo Utara dari Kesultanan Brunei. Di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu, Borneo Utara (sabah) telah dibahagikan kepada tiga wilayah atau kawasan iaitu wilayah Marudu, Mangindora dan Tirun. Wilayah Marudu meliputi kawasan kepulauan Palawan, Balabak, banggi, Balambangan, Tempasuk, Ambong, Pitas dan sebagainya. Wilayah. Wilayah Mangindora pula meliputi kawasaan Sandakan, Kinabatangan, Tungku, Sabahan (Tingkayu), sehingga ke Sungai Apas. Manakala Wilayah Tirun menganjur dari Sabahan sehingga ke kawasan Sibuko, Sambakong, Bulungan dan Berau. Kesemua kawasan ini ditadbir oleh beberapa orang Ketua Sulu yang terdiri daripada Datu, Shariff, Tuan dan Pangeran.
Walau bagaimanapun, Marudu adalah wilayah utama dan merupakan kawasan yang terbesar sekali di antara tiga wilayah itu. Marudu diketuai oleh Sharif Osman, Mangindora diketuai oleh Tuan Abandol (Sungai Sandakan), Datu Bandar (Pangeran) Betau (di Segaliud dan mengetuai orang-orang Buludupi/Idaan/Sungai). Manakala Wilayah Tirun ditadbir oleh beberapa orang Datu, antaranya ialah Datu Sapindin yang mentadbir Sabahan (sebuah daerah di Teluk Darvel).
Sharif Osman telah mengawini seorang puteri Sulu yang dikenali sebagai Dayang Cahaya anak Raja Muda Bantilan atau Sultan Badaruddin. Sharif Osman telah manjadikan Kuala Sungai besar sabagai pusat pentadbirannya. Selain mentadbir kota Marudu, Sharif Osman juga menjalankan perniagaan mengeksport hasil hutan dan laut seprti kapur barus, rotan, mutiara berah bukit, kulit penyu, sarang burung dan sebagainya. Pada ketika itu Marudu menjadi pusat pengeluaran hasil laut dan hutan yang utama dan merupakan wilayah paling penting kepada Kesultanan Sulu. Syariff Osman juga dipertanggungjawabkan untuk memungut cukai untuk dirinya dan Sultan Sulu dari pedagang-pedagang yang menjalankan perniagaan di kawasan Marudu. Oleh itu, beliau telah melantik wakilnya yang terdiri daripada Datu-datu Sulu dan Ketua-ketua Suku untuk menjalankan tanggungjawab ini.
Pada masa yang kegiatan dan ancaman lanun semakin berleluasa dan tidak dinafikan bahawa ada diantara ketua-ketua lanun yang dilantik sendiri oleh Sharif Osman. Aktiviti ini sebenarnya dimulakan oleh pihak Sepanyol pada masa pelayaran Ferdinand Magellan. Ferdinand Magelland dicatatkan dalam sejarah oleh Pigafetta sebagai orang yang mula-mula sekali melanun di kepulauan Sulu. Ferdinand Magellan dalam perjalanan dari Sampang Mengayau (Borneo) pada tahun 1521 telah merompak kapal Wizurai Brunei di perairan Paragua (Pulau Palawan) dan menawan Raja Pulau Palawan iaitu Tuan Mahamud dan anaknya Tuan Ahmad. Ferdinand Magelland telah membawa Tuan Mahamud ke Pulau Palawan dan memaksa penduduk di sana memberi makanan seperti ayam, kambing, babi, pisang, ubi dan bermacam-macam lagi kepada rombongan Magellan.
Sejarah ini telah memulakan aktiviti peperangan di laut di antara orang-orang barat dan orang-orang tempatan dan selalunya pihak yang kalah akan dirampas kapal dan harta bendanya. Tawanan akan dijual sebagai hamba di mana-mana pelabuhan dagang utama. Aktiviti ini juga berlaku di kalangan pihak yang bermusuhan sama ada di kalangan kapal-kapal dagang barat sesama sendiri atau di antara pihak barat dan pihak timur. Sebenarnya sejarah penjajahan baratlah yang memulakan aktiviti ini. Keadaan ini berterusan sehinggalah pada abad ke-18 dan ke-19. Antara kumpulan lanun Borneo dan Sulu yang terkenal ialah kumpulan orang-orang Illanun (Irranun), Balanini (Bangingi) dan orang-orang Dayak Laut.
Tidak ada satu pun catatan sejarah yang boleh mengesahkan bahawa Sharif Osman telah merompak dan melanun kapal agang atau menyerang man-mana kampung penduduk setempat. Kebijaksanaan dan kepimpinan Sharif Osman sebenarnya adalah faktor utama yang telah menimbulkan rasa kemarahan dan perasaan cemburu pihak Barat dan beberapa pembesar Brunei. Shariff Osman dan pengaruhnya yang kuat ketika di Borneo dan Sulu telah mengancam kewibawaan dan kekuasaan pihak Barat dan Brunei. Lebih-lebih lagi, tindakan Sharif Osman mengisytiharkan dirinya sebagai “Pemerintah Bebas” telah menimbulkan kemarahan musuh-musuhnya dan jika tidak dihalang dan dimusnahkan sudah tentulah Sharif Osman akan menjadi Sultan di Borneo. Pihak pembesar Brunei, Rajah James Brooke dan pihak British North Borneo akan terancam dan kehadiran Sharif Osman akan mengagalkan semua agenda mereka di Borneo Utara.
Oleh yang demikian, kemunculan Ketua Bebas seperti Sharif Osman adalah disebabkan oleh kemerosotan dan lemahnya kekuasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada masa itu dan disebabkan oleh meningkatnya ancaman lanun. Dalam hal ini, Sharif Osman adalah pilihan terbaik untuk memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan kepada penduduk Borneo Utara, khasnya di Marudu daripada ancaman lanun. Dengan ini, adalah mustahil seorang ketua yang menjadi pelindung rakyat di wilayahnya menyamun, membunuh, merogol atau melanun orang-orang yang menjadi rakyatnya sendiri
Kesanggupan Sharif Osman untuk memberikan perlindungan terhadap orang-orang di bawah kekuasaannya dan kerelaannya untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman dan serangan lanun-lanun telah menyebabkan ramai orang yang datang dan tinggal menetap di wilayah Marudu. Ini menyebabkan berlakunya ledakan penduduk di Marudu sehingga Marudu menjadi wilayah yang terpenting dan paling ramai didiami penduduk Borneo Utara ketika itu.
St. John dalam bukunya,” Life in the Forest of the Far East ” yang ditulisnya pada tahun 1863 menganggarkan penduduk dalam “daerah Marudu” ketika itu lebih kurang 50,000 orang. Jumlah ini tidak termasuk penduduk di kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi dan pulau-pulau sekitarnya yang juga berada di bawah pemerintahan Shariff Osman. Jumlah penduduk ini jauh lebih ramai dari penduduk Kerajaan Brunei dan Kerajaan James Brooke. Negeri Marudu telah muncul sebagai saingan terbaru Kerajaan Brunei dan Kerajaan Brooke dan jika tidak disekat dan dimusnahkan besar kemungkinan ia akan mengancam semua kerajaan yang ada di Borneo Utara ketika itu. Penduduk-penduduk yang tinggal di negeri Sharif Osman terlibat dengan aktiviti ekonomi penternakan dan perikanan, sementara mereka yang tinggal kawasan penempatan Sharif Osman menjalankan aktiviti ekonomi perdagangan.
Dalam rancangannya untuk memberikan perlindungan terhadap rakyatnya, Sharif Osman telah dibantu oleh beberapa orang panglima dan pahlawan dari Sulu, Brunei dan Borneo yang sanggup menjadi pengikutnya. Dia telah membina kubu yang kuat di Kuala Sungai Besar yang dilengkapi dengan senjata api dan dua meriam yang besar. Bahagian depan kubunya telah ditempatkan kapal-kapal dan perahu perang yang sedia berperang pada bila-bila masa sahaja. Manakala perairan sungai bahagian hadapan kubunyan telah dipasang dengan rantai besi yang merentangi perairan kubunya agar kapal-kapal yang menyerang kubunya tidak dapat mendekati pangkalannya.
Faktor penentangan Sharif Osman terhadap penjajahan barat ialah kerana kehadiran mereka telah menggangu amalan kehidupan masyarakat setempat di daerahnya, Pihak barat juga telah memajak Sabah dari Sultan Sulu dan Brunei. Selain itu, kapal dagang barat yang berlabuh di wilayahnya enggan membayar cukai dan tidak mengendahkan dirinya sebagai pemerintah Marudu, malah pihak barat mentertawa dan menghinanya.
Di samping itu juga, Sharif Osman turut menentang penyerahan Sabah kepada pihak British, Menentang pencerobohan asing di perairan Teluk Marudu. Oleh itu, Sharif Osman telah melakukan beberapa serangan keatas kapal dagang serta membunuh mereka. Setelah Berjaya membunuh musuh, beliau akan memenggalkan kepalanya dan memotong kemaluan mereka sebagai amaran kepada pihak penjajah barat. Kepala musuh yang dipenggal akan diserahkan kepada orang-orang “Sagaih” iaitu orang-orang Dusun dan Dayak yang meganggap kepala musuh sebagai “Hadiah berharga tanda kepahlawanan seseorang”. Kemaluan orang-orang Barat dan pihak musuh pula akan dipotong dan dicucuk dengan rotan untuk digantung merentangi Sungai Marudu.
Tindakan ini bertujuan untuk menakut-nakutkan pihak bara tdan mana-mana musuh yang ingin mencabar kekuatan orang-orang Marudu. Pihak British telah meminta sokongan Sultan Brunei untuk memerangi Sharif Osman dan orang-orang Balanini-Illanun yang dianggap “Kumpulan Lanun yang paling berani dan berbahaya di Asia Tenggara” Pangeran Yusop yang bersengketa dengan Rajah Muda Hashim telah menyokong Sharif Osman. Pihak pentadbir Syarikat Berpiagam Borneo Utara British telah meminta tentera Diraja British di London untuk memerangi Shariff Osman dan membuang arang yang diconteng di muka kerajaan British.
Akibat dari penentangan yang dilakukan oleh Sharif Osman menyebabkan aktiviti lanun dan perang di laut semakin berleluasa, Sahrif Osman dituduh sebagai ketua lanun oleh pihak barat. Sharif Osman difitnah oleh pihak Barat terutamanya oleh Raja Sarawak, James Brooke sebagai orang yang kejam dan tidak bertamadun. Pihak barat juga telah melancarkan perang saraf dengan mengumumkan kepada rakyat bahawa Sharif Osman adalah “Lanun yang jahat”dan bukannya “Pelindung Rakyat”. Syarif Osman yang berkubu di muara sungai Marudu telah diserang oleh satu angkatan kapal perang Inggeris yang diketuai oleh Kapten Mundy.
Pertempuran itu menyaksikan kehancuran kubu pertahanan Sharif Osman, sekaligus beliau turut terbunuh. Pengikut-pengikut Sharif Osman yang berundur dari kubu itu sempat membawa jenazah Syarif Osman untuk dikebumikan di luar dari kawasan kubu itu. Kini, kawasan kubu dan tanah perkuburan Syarif Osman itu telah menjadi satu tanda sejarah di daerah Kota Marudu. Manakala isteri Syarif Osman, Dayang Cahaya dan beberapa orang pengikut setia dikatakan melarikan diri ke Sugud menggunakan jalan darat melalui beberapa perkampungan iaitu kampung Tandek dan kampung Botition.
Tindakan Shariff Osman ini “amat memberi malu kepada orang-orang barat”. Penghinaan Shariff Osman terhadap orang-orang barat “tidak pernah diterima dan dialami oleh mana-mana kuasa barat yang menjajah Asia” dan “belum pernah mana-mana kuasa dunia dan pemerintah yang berani memotong dan menggantung kemaluan orang barat di khalayak ramai” –James Brooke
No comments:
Post a Comment